Muka Surat

Monday 25 July 2011

BORANG KEAHLIAN

                                                                                                                                                                       BORANG  KEAHLIAN  Ph01

PERSATUAN PERUBATAN ISLAM HIJAMAH MALAYSIA  [ 3279-11-SEL ]
2-2, JALAN USJ 9/5Q, BUSINESS CENTRE USJ9,
47600  SUBANG  JAYA,  SELANGOR


 

1.       NAMA PENUH  (dalam huruf  besar)
2. NOMBOR  KAD  PENGENALAN                                                                        JANTINA  :   L  /  P
3.       TARIKH  LAHIR                                 UMUR                                    TEMPAT  LAHIR
4.       BANGSA                                             AGAMA                                WARGANEGARA
5.       NAMA  ISTERI / SUAMI   DAN NO. TELEFON 
6.      
ALAMAT  TETAP

7.ALAMAT  SURAT  MENYURAT
  

8.       PEKERJAAN   DAN  ALAMAT MAJIKAN

9.  TAHAP  PENDIDIKAN                     SPM/SPMV                    DIPLOMA                IJAZAH
SARJANA                    PHD                            
LAIN-LAIN  ………………………………………………………….
10.   KUMPULAN  DARAH  
11.   NO . TELEFON BIMBIT                                      RUMAH                               PEJABAT

 
12.   EMAIL  / LAMAN WEB / BLOGSPOT
13.    PENGAKUAN PEMOHON :  Saya dengan ini memohon untuk menjadi ahli dan berikrar untuk mematuhi Perlembagaan Persatuan dan Peraturan-peraturannya, serta nama baik  persatuan.  Saya juga akan memperjuangkan cita-cita mulia  PERHIJAM,  insyaAllah.  Bersama-sama  ini saya sertakan pembayaran yuran sebanyak RM 150.00 (Pendaftaran dan Tahunan).    Saya mengaku bahawa segala  maklumat  yang diberikan di atas adalah benar.

14.   Tanda Tangan Pemohon                     ………………………………………………..
      (Nama &  No. K/P)
15.  
SOKONGAN:      Nama  Pencadang    dan   No. Ahli

Untuk  Kegunaan  Pendaftar   PERHIJAM
Borang diterima  pada :                                                 No. Resit  Pembayaran
Permohonan    Diluluskan / Ditolak
NO . KEAHLIAN                              AHLI  BIASA / AHLI SEUMUR HIDUP / AHLI KEHORMAT

T/Tangan  Setiausaha    Agong                     ………………………………………………..    
                                                                                                                                                                      

PERLEMBAGAAN & UNDANG-UNDANG TUBUH PERSATUAN

UNDANG-UNDANG BAGI

PERSATUAN  PERUBATAN  ISLAM  HIJAMAH MALAYSIA
(NAMA PENUH PERTUBUHAN)


FASAL 1         NAMA

1.1 Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PERUBATAN ISLAM HIJAMAH MALAYSIA, atau nama singkatnya sebagai ‘PERHIJAM’. Perkataan ‘HIJAMAH’ diambil dari perkataan Arab yang bermaksud ‘BEKAM’.

FASAL 2         TEMPAT URUSAN

2.1 Alamat tempat urusan pertubuhan dan alamat untuk surat menyurat ialah 2-2, Jalan USJ 9/5 Q, Business Centre USJ 9, 47600, Subang Jaya Selangor DAN sekiranya berlaku perubahan alamat tempat urusan pertubuhan, ianya perlu dirujuk kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu bagi mendapatkan persetujuan serta kebenaran secara bertulis.


FASAL 3         BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

3.1 Huraian simbol PERHIJAM :

3.1.1 Petak berbentuk hexagon (seperti sarang lebah) menunjukkan satu penyatuan hati dan       lambang penyembuhan berasaskan madu lebah
3.1.2 Hexagon di belakang berwarna hijau mengambarkan landasan islam
3.1.3 Hexagon bersegi enam melambangkan rukun iman
3.1.4 Khat di dalam hexagon yang berwarna putih menunjukkan kesucian perubatan    Islam
3.1.5 Perkataan ‘PERHIJAM’ bermaksud ‘Persatuan Hijamah Malaysia
3.1.6 Warna pada perkataan ‘PERHIJAM’ ialah coklat dan hijau
3.1.7 Coklat sebagai simbol warna tanah menunjukkan asal usul kejadian manusia
3.1.8 Huruf H bermaksud hijamah (bekam) dan herba manakala warna hijau melambangkan  sumber alami

( Lambang ‘PERHIJAM’ seperti yang dilampirkan)


FASAL 4         OBJEKTIF, MISI DAN VISI

4.1 Menyatukan umat Islam di bawah satu semangat persaudaraan dalam Islam khususnya di kalangan Pengamal Perubatan Nabi dan Perubatan Alternatif

4.2 Mengetengahkan tradisi serta amalan perubatan yang bersumberkan unsur alamiah dan Ilahiah kepada masyarakat.

4.3 Memupuk perkembangan dan kemajuan ilmu Perubatan Nabi agar Perawatan Nabi menjadi satu bidang kerjaya yang profesional.
4.4 Memartabatkan perubatan Nabi khususnya ‘BEKAM’ supaya boleh diterima masyarakat sebagai ‘Perubatan Islam’ dan menyelaraskan gerakerja amalan ini supaya selaras dengan piawaian kementerian kesihatan

4.5 Bekerjasama dengan mana-mana badan yang mempunyai keserasian dan berkeinginan untuk merealisasikan objektif Pertubuhan.

4.6 Sentiasa mengambil segala langkah yang praktikal untuk mencapai objektif-objektif Pertubuhan seperti :

4.6.1 Menyusun, menyedia dan mengeluarkan segala bahan ilmiah serta garis panduan berkaitan amalan Perubatan Nabi setelah mendapat kelulusan daripada Majlis Tertinggi.

4.6.2 Mengendalikan siri-siri kuliah dan pelatihan untuk ahli-ahli Pertubuhan serta masyarakat agar wujud penguasaan kemahiran, kefahaman dan keyakinan yang mantap terhadap Perubatan Nabi dan Perubatan Alternatif

4.6.3 Menyokong, membantu, mengajar, membimbing, mengawal dan mengiktiraf ahli-ahli Pertubuhan di dalam bidang Perubatan Nabi khasnya ‘Hijamah’ sesuai dengan kelayakan serta keupayaan mereka.

4.6.4 Meningkatkan tahap kesihatan masyarakat melalui khidmat rawatan yang mematuhi prinsip syariat Islam, beretika dan profesional.

4.6.5 Mengadakan kutipan wang yang dibenarkan syariat Islam dan undang-undang untuk membiayai kegiatan-kegiatan Pertubuhan.

4.6.6 Membeli, memiliki, melupus, menerima sumbangan, wakaf atau hibah, harta tanah dan harta boleh alih seperti kenderaan untuk kegunaan ahli-ahli Pertubuhan serta masyarakat.

FASAL 5         KEAHLIAN

5.1 Ahli-ahli Pertubuhan ini terbahagi kepada tiga jenis keahlian, iaitu :

5.1.1  Ahli Biasa
5.1.2  Ahli Seumur Hidup
5.1.3  Ahli Kehormat

5.2 Tertakluk kepada peruntukan 5.3, Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup adalah terbuka kepada semua umat Islam yang berumur lapan belas (18) tahun dan ke atas.

5.3 Untuk diterima menjadi Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup, seseorang itu mestilah telah mengikuti kuliah Sijil atau kursus anjuran Persatuan atau yang setaraf dengannya dan lulus ujian yang ditetapkan oleh Pertubuhan.

5.4 Ahli Seumur Hidup ialah seorang Ahli Biasa yang telah membuat permohonan rasmi kepada Jawatankuasa lalu diluluskan permohonan tersebut dan dia membuat bayaran yuran seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 11.4.

5.5 Ahli Kehormat ialah individu yang dilantik secara rasmi oleh Pertubuhan terdiri daripada kalangan tokoh-tokoh Islam yang terkemuka atau Pengamal Perubatan yang berpengetahuan luas di bidangnya atau bekas ahli Pertubuhan yang telah berjasa kepada Pertubuhan. Keahlian Ahli Kehormat perlu diluluskan oleh Jawatankuasa persatuan

5.6 Setiap permohonan menjadi Ahli Biasa hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang Permohonan Keahlian. Permohonan tersebut hendaklah dicadang dan disokong oleh dua (2) orang Ahli Biasa atau Ahli Seumur Hidup dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

5.7 Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas, hendaklah setelah membayar yuran masuk dan yuran tahunan pertama seperti yang ditetapkan di dalam Fasal 11.2, diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia menjadi Ahli Biasa.

5.8 Seorang pelajar universiti atau kolej universiti tidak boleh diterima menjadi ahli pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

5.9 Seorang yang ingin menjadi ahli wajib mengikuti kursus asas yang dianjurkan oleh persatuan.

FASAL 6         BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

6.1 Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut :

          Bayaran masuk RM 50.00 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja).

          Yuran tahunan RM 100.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Sahaja).

          Yuran seumur hidup RM 500.00 (Ringgit Lima Ratus Sahaja).


6.2 Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada bendahari dalam tempoh
30 (tiga puluh) hari dari awal tiap-tiap tahun.

6.3 Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih dari dua bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Setiausaha atau wakilnya, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya dijelaskan.

6.4 Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi dua tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

6.5 Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

6.6 Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

FASAL 7         PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

7.1 Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

7.2 Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik pertubuhan atau menyalahi etika pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 8         MESYUARAT AGUNG

8.1 Pengelolaan pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

8.2 Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

8.3 Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:

8.3.1 menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;
8.3.2 menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
8.3.3 memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun akan datang; dan
8.3.4 menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

8.4 Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 (tujuh) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

8.5 Mesyuarat Agung khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:
8.5.1 bila difikirkan mustahak oleh jawatankuasa, atau
8.5.2 atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

8.6 Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

8.7 Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 (empat belas) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8.8 Fasal 8(1) dan 8(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

8.9 Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 9         JAWATANKUASA

9.1 Ahli Jawatankuasa Pertubuhan

          9.1.1 Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai-pegawai      Pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan kecuali bagi jawatan Penolong Setiausaha dan Penolong Bendahari :-

Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Seorang Naib Presiden
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
Seorang Penolong Bendahari
10 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

9.1.2 Jawatankuasa boleh melantik mana-mana ahli Pertubuhan melalui persetujuan mesyuarat untuk memegang jawatan bagi jawatan Penolong Setiausaha dan Penolong Bendahari.

9.2 Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

9.3 Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

9.4 Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh  mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya  tidaklah
boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mensyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan
kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

9.5 Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

9.6 Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat sekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

9.6.1 Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

9.6.2 Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

9.6.3 Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

9.7 Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Pusat.

9.8 Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

9.9 Jawatankuasa boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap,
engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

9.10 Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

FASAL 10      KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

10.1 Presiden, dalam tempoh memegang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia
menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

10.2 Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.


10.3 Naib Presiden hendaklah memangku jawatan Timbalan Presiden semasa ketiadaannya.

10.4 Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966.

10.5 Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

10.6 Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha Agung.

10.7 Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari.

10.8 Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

FASAL 11      KEWANGAN

11.1 Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ini, wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

11.2 Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

11.3 Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangan bersama Presiden, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Presiden, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang  Pertubuhan.

11.4 Perbelanjaan yang lebih daripada RM 3,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 3,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ribu sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha dan Bendahari.

11.5 Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk
diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

11.6 Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 12      PEMERIKSA KIRA-KIRA

12.1 Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan sebagai Pemeriksa kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

12.2 Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada
Jawatankuasa.

FASAL 13      TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

13.1 Di antara berlansungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang.

13.2 Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.

FASAL 14      PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang-orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

FASAL 15      LARANGAN

15.1 Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

15.2 Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;

15.3 Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;


15.4 “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

FASAL 16      PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari daripada tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.





FASAL 17      PEMBUBARAN

17.1 Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

17.2 Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

17.3 Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.